Analysis

10 Ciri Rumah Mesti Ada Jika Anda ‘Work From Home’

Posted by: Muzammil
date: 15th Jan 2021

Sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun ini, semakin ramai rakyat Malaysia yang bekerja dari rumah (work from home).

Work from home amat penting untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19. Peluang work from home telah membuatkan ramai pembeli rumah tertanya-tanya: apakah ciri rumah yang mereka betul-betul mahukan jika mahu membeli rumah?

Adakah keberadaan servis Internet yang laju? Adakah kawasan hijau yang luas? Adakah kemudahan dan sekuriti yang mencukupi?

Dalam artikel ini, kita akan meneliti 10 ciri rumah yang paling diutamakan oleh pembeli rumah di Malaysia selepas perlaksanaan PKP.

1. Sambungan Internet yang stabil dan laju

A Man With Insomnia Visits Different Sites At Night.

Keberadaan sambungan Internet yang laju dan stabil semakin menjadi keutamaan pembeli rumah selepas PKP. (Foto: Getty Images)

Sebelum PKP, ramai pembeli rumah masih boleh mengorbankan ketiadaan sambungan Internet yang stabil dan laju untuk mendapatkan rumah yang mempunyai saiz ruang idaman pada harga yang lebih murah. Tetapi lain pula ceritanya selepas PKP.

Selepas PKP, satu ciri rumah yang kini mula diutamakan oleh pembeli rumah adalah kebolehcapaian sambungan Internet yang stabil dan laju di rumah.

Baru-baru ini, pihak pemaju EcoWorld telah membuat sebuah kajian pendapat terhadap pembeli mengenai ciri-ciri rumah yang paling penting apabila mereka perlu work from home. “Salah satu jawapan paling popular hasil daripada kajian pendapat itu adalah kebolehcapaian sambungan Internet jalur lebar berkelajuan tinggi,” dedah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Datuk Chang Khim Wah.

Susulan galakan kerajaan supaya majikan membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah, Chang mendapati semakin ramai pembeli rumah mengutamakan sama ada kawasan rumah mereka mempunyai servis pembekal capaian Internet jalur lebar berkelajuan tinggi seperti unifi, Time Fibre dan sebagainya.

Ciri ini menjadi lebih penting lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai anak-anak yang bersekolah dan perlu mengharungi proses pembelajaran secara dalam talian. “Untuk memastikan kualiti sambungan yang baik dan stabil, sambungan Internet jalur lebar berkelajuan tinggi adalah satu kemestian, bukan lagi sekadar satu keperluan,” tambah Chang lagi.

2. Unit yang separa lengkap dengan perabot

Mother Playing With Young Son (2 Yrs) On Couch At Home

(Foto: MoMo Productions/Getty Images)

Dalam pasaran rumah subsale (rumah terpakai) pula, rumah yang sudah menjalani proses renovasi seperti mempunyai unit penghawa dingin, kabinet dapur, almari pakaian di bilik tidur menjadi pilihan pembeli rumah selepas PKP, menurut Perunding Senior Yit Seng Realty, Wong Ai Ling.

“Sebabnya adalah pembeli rumah dapat menjimatkan banyak kos renovasi mereka sendiri untuk dijadikan tabungan waktu kecemasan. Kebanyakan pembeli rumah merasakan perlunya ada tabungan kecemasan ini ketika wabak COVID-19 yang masih belum reda dan berisiko untuk melalui gelombang ketiga, keempat dan seterusnya,” jelas Ai Ling.

3. Projek perumahan daripada pemaju yang bereputasi

Embed from Getty Images

Sejak sebelum PKP lagi, reputasi dan kredibiliti pemaju sudah menjadi salah satu faktor penentu keputusan pembeli sebelum menandatangani surat perjanjian jual beli (SPA). Tetapi selepas PKP, faktor ini lebih dititikberatkan di mana pembeli mempunyai kecenderungan untuk mengelak daripada membeli projek yang masih belum siap (undercon).

“Jika mereka membeli unit di projek undercon pun, mereka akan memastikan pemaju mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh untuk bertahan dalam ketidaktentuan ekonomi akibat wabak COVID-19 ini. Ini supaya rumah mereka dapat disiapkan mengikut jadual asal,” jelas Pengarah Urusan Matrix Concept Holdings Berhad Ho Kong Soon.

Beliau turut berkata pendigitalan proses membeli rumah yang diamalkan oleh banyak pihak pemaju semasa tempoh PKP membuatkan pembeli rumah lebih arif mengenai reputasi pemaju.

“Mereka menghabiskan lebih banyak masa membuat kajian tentang projek dalam talian, perkembangan projek, persekitaran, dan latar belakang pemaju di forum hartanah sebelum membuat temu janji untuk melihat unit contoh di galeri jualan,” katanya.

“Sebelum PKP, mereka cenderung untuk mengamalkan pendekatan ‘tunggu dan lihat’. Jadi kami perlu banyak menghubungi mereka kerana mereka belum betul-betul pasti mahu membeli. Tetapi selepas PKP, mereka biasanya dah pasti apa yang mereka mahu dan mampu. Keseluruhan proses membeli dan menjual menjadi lebih pantas dan efisien.”

4. Persekitaran yang hijau

Bangunan Hijau

(Foto: Taiyou Nomachi/Getty Images)

Satu lagi perubahan trend pembeli rumah selepas PKP adalah kesedaran mengenai pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar. Perubahan ini disedari oleh Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise Berhad Kenny Wong.

“Pembeli rumah kini semakin cakna dengan sampah yang mereka hasilkan. Mereka mahu mengamalkan amalan kitar semula seperti yang dilakukan di negara-negara maju. Mereka juga sangat menghargai ciri-ciri rumah yang mempunyai lorong basikal, tong kitar semula yang mencukupi, penggunaan semula air hujan dan kemudahan vertical farming,” dedah Kenny.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad Mohd Salem Kailany juga bersetuju dengan pemerhatian Kenny. “Rumah yang mempunyai banyak pencahayaan semulajadi, pengaliran udara dan peralatan elektrik yang cekap tenaga juga sudah menjadi faktor utama yang menarik minat mereka untuk membeli rumah. Ini kerana mereka boleh menjimatkan kos bil utiliti mereka,” kata Salem.

5. Dilengkapi dengan ruang komuniti dan awam yang mencukupi

Embed from Getty Images

Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise Berhad Kenny Wong turut berpendapat jika semakin banyak syarikat mengamalkan polisi bekerja dari rumah, semakin ramai pembeli akan membeli rumah di kawasan yang jauh dari pusat bandar.

“Mereka nak unit yang mempunyai ruang yang lebih besar pada harga yang lebih rendah. Mereka juga mahu pihak pemaju menggunakan penjimatan harga tanah di kawasan ini digunakan untuk menyediakan kemudahan rekreasi dan ruang komuniti,” jelasnya.

6. Projek berkepadatan rendah

Embed from Getty Images

Kebolehan penyakit pandemik seperti COVID-19 yang boleh menjangkiti ramai orang dalam masa yang pantas turut telah mengubah trend pembeli rumah yang kini mengutamakan projek berkepadatan rendah.

“Projek perumahan yang mempunyai lebih dari 1,000 unit semakin tidak mendapat sambutan. Pembeli rumah kini sedar harga unit yang lebih murah di projek yang berkepadatan tinggi tidak berbaloi dengan risiko kesihatan diri dan keluarga mereka,” beritahu Perunding Senior Yit Seng Realty, Wong Ai Ling.

7. Ruang parkir yang mencukupi

Embed from Getty Images

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad Mohd Salem Kailany turut memberitahu sejak PKP, semakin ramai pembeli rumah high-rise kini mengutamakan keperluan menyediakan dua lot parkir untuk setiap pemilik.

“Ini adalah keperluan yang penting bagi mereka yang duduk di kediaman high-rise di kawasan bandar kerana kebanyakan keluarga mempunyai lebih daripada satu kereta. Peratusan pemilikan kereta juga tinggi di kawasan bandar,” kata Salem.

“Sejak perlaksanaan norma baharu selepas PKP, kebanyakan masa kita dihabiskan di rumah. Jadi kami perlu sentiasa berinovasi untuk menyediakan semua keperluan yang diminta oleh pembeli untuk memastikan produk kami kekal menarik di pasaran.”

8. Ciri keselamatan dan sekuriti yang lengkap

Embed from Getty Images

Walaupun perlaksanaan PKP telah menyebabkan indeks jenayah negara turun hampir 50%, Pengarah Urusan Matrix Concept Holdings Berhad Ho Kong Soon memberitahu kekuatan sekuriti di rumah masih menjadi ciri utama yang menentukan minat pembeli. Beliau menekankan kepentingan pemaju untuk menyediakan rumah yang mempunyai ciri keselamatan dan sekuriti yang lengkap untuk menarik minat pembeli dalam era norma baharu.

“Tak kiralah di rumah high-rise atau di rumah landed, sekuriti adalah keutamaan bagi pembeli,” katanya.

Penemuan sama turut ditemui dalam kajian pendapat yang dijalankan oleh EcoWorld. “Ciri rumah yang paling dikehendaki oleh rakyat Malaysia ketika ini adalah keberadaan sambungan Internet yang laju, ruang besar untuk keluarga, sekuriti yang bagus, ruang komuniti yang lengkap dan kemudahan asas dalam radius 10km dari rumah,” beritahu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Datuk Chang Khim Wah.

9. Projek yang mempunyai caj penyelenggaraan yang rendah

Pendigitalan proses membeli turut membuatkan pembeli rumah high-rise kini semakin cakna dengan kadar caj penyelenggaraan yang perlu mereka bayar. Perunding Senior Yit Seng Realty, Wong Ai Ling memberitahu, “Kebanyakan pembeli kini memeriksa dahulu berapa caj penyelenggaraan yang dikenakan dan berapa banyak kemudahan yang disediakan. Mereka nak tengok sama ada berbaloi atau tidak.”

“Rumah yang mempunyai caj penyelenggaraan yang tinggi terus akan membuatkan mereka tidak berminat untuk membeli – walaupun harga unitnya menarik.”

10. Kemudahan dalam radius 10km

Embed from Getty Images

Memandangkan semakin ramai orang bekerja dari rumah, adalah normal mereka mahukan semua kemudahan asas seperti kedai, hospital, klinik dan sekolah berada berdekatan dengan rumah mereka.

Pengarah Urusan Matrix Concept Holdings Berhad Ho Kong Soon berkata semua kemudahan ini perlu berada dalam radius 10km dari rumah pembeli untuk dikategorikan sebagai ‘dekat’. “Mereka turut mahukan rumah mereka mempunyai jaringan hubungan dengan jalan-jalan utama dan kemudahan pengangkutan awam.”

Ejen hartanah Pepite Real Estate Zack Ng pula berkata, “Untuk rumah high-rise, pembeli suka dengan rumah yang berdekatan dengan pusat membeli belah seperti Uptown Residences dan kawasan hijau seperti The Greens di TTDI atau Tropicana Grande di Persiaran Tropicana.”

Sumber: EdgeProp.my, Isu 3140/2020


Subscribe to Hihome.asia

Receive the latest in property
in our newsletter.