Uncategorized

Robo-Advisor: Cara Melabur Saham Paling Malas (Tapi Paling Bijak)

Posted by: Hi HOME
date: 7th Jan 2022

So anda nak melabur saham. Tapi anda tak tahu nak beli saham apa. Apa nak buat?

Jawapan paling mudah: biar robot uruskan.

Bagaimana nak buat? Dalam artikel ini, kita akan belajar sikit tentang robo-advisor.

Apa itu robo-advisor?

Robo-advisor merupakan robot yang menguruskan pelaburan saham bagi pihak anda. Disebabkan yang menguruskan pelaburan anda ini adalah robot, maka segala urusannya dilakukan secara automatik.

Tiada interaksi manusia ke manusia yang berlaku.

Apa yang robot ini buat?

  • Menilai matlamat pelaburan anda. Ada orang nak melabur untuk jangka masa pendek (contohnya untuk dana kecemasan). Ada orang nak melabur dalam jangka masa sederhana (contohnya kumpul duit untuk melancong). Dan ada orang nak melabur dalam jangka masa panjang (contohnya untuk dana persaraan).
  • Menilai toleransi risiko anda. Ada orang cukup takut dengan kerugian (maka sesuai melabur dalam portfolio konservatif). Ada orang boleh bertoleransi dengan kerugian asalkan kerugiannya tak banyak (maka sesuai melabur dalam portfolio sederhana agresif). Ada orang tak kisah rugi asalkan untung untuk jangka masa panjang (maka sesuai melabur dalam portfolio agresif).
  • Menilai jenis pelaburan yang anda minat. Ada orang mahu melabur dalam pasaran komoditi seperti emas kerana harganya yang stabil. Ada orang mahu melabur dalam pasaran saham China kerana perkembangan ekonomi China yang sedang pesat ketika ini. Ada orang mahu melabur dalam pasaran saham US kerana prestasinya sudah terbukti zaman berzaman.
  • Menyeimbangkan semula portfolio mengikut situasi semasa pasaran. Jika anda melabur dalam pasaran saham US dan sektor hartanah US jatuh teruk, robo-advisor akan memindahkan portfolio anda ke sektor yang tak terkesan dengan kejatuhan tersebut.

Dalam erti kata lain, apabila anda melabur saham menggunakan robo-advisor, anda dah menjimatkan banyak masa. 

Tak perlu lagi anda kena buat fundamental analysis (mengkaji laporan kewangan sesebuah syarikat).

Tak perlu lagi anda kena buat technical analysis (mengkaji carta saham sesebuah syarikat).

Kelebihan robo-advisor

Seperti yang kita dah bincang tadi, kelebihan utama robo-advisor adalah penjimatan masa.

Jika anda membeli saham sendiri, anda perlu membuat fundamental dan technical analysis dahulu (kerana membeli saham tanpa buat dua analisis ini = berjudi). 

Di belakang robo-advisor terdapatnya algoritma yang dicipta oleh orang bijak untuk menilai dan mengurus portfolio anda. Selain itu, robo-advisor juga biasanya mempunyai jemaah (commitee) yang terdiri dari penganalisis pasaran yang bertanggungjawab memastikan kerugian pelaburan anda diminimumkan dan keuntungan dimaksimumkan.

Selain itu, kelebihan robo-advisor yang anda perlu ambil kira adalah:

  • Fleksibiliti yang tinggi. Katakan anda mengambil keputusan untuk menukar portfolio dari berisiko rendah ke berisiko tinggi. Anda boleh buat! Nak tukar dari berisiko tinggi ke berisiko rendah? Pun boleh buat!
  • Tiada faktor emosi. Tanyalah mana-mana pelabur berpengalaman, mereka pasti akan memberitahu anda perkara paling susah ketika melabur adalah melawan emosi. Manusia cenderung untuk rasa takut (jual) ketika sahamnya jatuh, tamak (beli) ketika sahamnya naik. Ini adalah resepi pelaburan yang gagal. Dengan robo-advisor, anda tiada masalah ini kerana robot tiada emosi.
  • Kos rendah. Dengan robo-advisor, anda boleh memiliki saham  Apple dan Tesla dengan modal RM100 sahaja. Tetapi tanpa robo-advisor, anda perlu ada modal RM5,195 untuk membeli 1 unit saham Apple dan Tesla. 

Kekurangan robo-advisor

Dah bercakap tentang kelebihan, sudah tentu kita kena bercakap tentang kekurangan robo-advisor pula.

  • Tak boleh customise pelaburan. Jika anda melabur saham sendiri, anda mempunyai kebebasan 100% saham mana yang anda nak ada dalam portfolio anda. Tapi dengan robo-advisor, anda perlu berpuas hati dengan apa yang ditentukan oleh algoritma robot anda.
  • Potensi pulangan pelaburan tak tinggi. Jika anda melabur saham sendiri, anda mempunyai potensi mendapat pulangan minimum 10-20% sebulan. Tetapi dengan robo-advisor, anda perlu berpuas hati dengan pulangan sekitar 5-20% setahun.
  • Masih terdedah dengan potensi kerugian. Berbeza dengan pelaburan ASB yang bebas daripada risiko kerugian, robo-advisor masih ada potensi memberi anda kerugian. 

Contoh robo-advisors

Sekarang kita dah masuk dalam bahagian paling menarik iaitu robo-advisors apa yang boleh anda cuba.

Ada banyak pilihan yang boleh anda cuba. Dalam jadual di bawah ini, kami menyenaraikan robo-advisors yang boleh anda cuba beserta kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Nama robo-advisorKelebihanKekuranganYuran
Akru– Buatan Malaysia
– Ada lesen Suruhanjaya Sekuriti
– Portfolio luas
– Tiada appMaksimum 0.7% setahun daripada portfolio
Raiz– Pelaburan dibuat di ASNB (rendah risiko)– Perlu link dengan debit card
– Tidak sesuai untuk pengguna yang sudah ada disiplin melabur
– RM1.50 sebulan untuk portfolio bawah RM6,000
– 0.3% setahun untuk portfolio atas RM6,000
Stashaway– Portfolio luas
– Ada lesen Suruhanjaya Sekuriti
– Komuniti pengguna paling ramai
– Ada pendedahan terhadap saham tidak syariahMaksimum 0.8% setahun daripada portfolio
BEST Invest– Patuh syariah (dimiliki oleh Bank Islam)
– Ada lesen Suruhanjaya Sekuriti
– Ada pilihan untuk urus sendiri vs pakai robot
– Pilihan portfolio terhad0.5 – 1.8% setahun daripada portfolio (bergantung kepada jenis portfolio)
MyTHEO– Portfolio paling luas
– Ada lesen Suruhanjaya Sekuriti
– Yuran tahunan paling tinggiMaksimum 1% setahun daripada portfolio
Wahed Invest– Portfolio luas
– Ada lesen Suruhanjaya Sekuriti
– Patuh syariah
– Peringkat yuran tahunan terlalu ringkasMaksimum 0.79% setahun daripada portfolio

Siapa sesuai guna robo-advisor?

Bagi kami, robo-advisor adalah satu kemestian jika anda mahu mula melabur.

Sudah tentulah anda boleh memilih untuk masuk kelas saham dan belajar melabur saham sendiri. Tetapi sambil-sambil belajar beli saham sendiri, kami galakkan anda juga untuk melabur menggunakan robo-advisor.

Ini kerana pelaburan anda dalam robo-advisor boleh dijadikan sebagai salah satu bentuk pelaburan pasif anda.

Jual beli saham secara sendiri boleh dijadikan sebagai salah satu bentuk pelaburan aktif anda.

Robo-advisor cukup berguna jika anda:

  • Baru berjinak-jinak dalam pelaburan
  • Malas (lebih minat pelaburan pasif)
  • Tiada masa untuk membuat pelaburan aktif (untuk membuat fundamental, technical analysis)
  • Mampu memperuntukkan sejumlah wang (contohnya Rm100) pada setiap minggu/bulan untuk tujuan simpanan.
  • Penat simpan duit dalam bank, tapi dapat kadar faedah tak seberapa.

TLDR: Robo-advisor adalah cara paling malas (tetapi bijak) untuk melabur.


Subscribe to Hihome.asia

Receive the latest in property
in our newsletter.